Monday, September 8, 2008

ptptn

Hari ini, saya ingin memperkatakan mengenai PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Meskipun tajuk ini, agak terkeluar sedikit dari konsep asal iaitu mengenai perbankan dan kewangan Islam, namun ia masih mempunyai kaitan iaitu berkenaan dengan pinjaman PTPTN, samada ia halal ataupun haram.

Terlebih dahulu dimaklumkan bahawa, pandangan yang dilontarkan dalam penulisan ini adalah merupakan suatu pandangan peribadi kerana setakat ini, tiada lagi sebarang pendapat yang khusus yang telah dikeluarkan mengenainya. Mungkin disebabkan focus lebih ditumpukan kepada system perbankan. Namun, sering juga orang bertanya kepada saya, sekadar meminta pendapat mengenai kedudukan PTPTN.

Sedikit mengenai PTPTN. Tabung ini disedikan khusus untuk membiayai pengajian para pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran diperingkat pengajian tinggi. Konsep yang diguna pakai adalah pinjaman kerana tidak wujud sebarang unsur pertukaran barang di dalam akad tetapi menawarkan faedah yang tetap sehingga penghujung tempoh iaitu sebanyak 4% setahun.

Dalam Islam, sebarang bentuk pinjaman, yang telah disyaratkan lebihan di dalam pembayaran balik hutang tersebut adalah dikira sebagai haram disisi Islam disebabkan ia mengandungi unsur riba. Dalam hal ini, PTPTN yang menggunapakai konsep pinjaman boleh dikategorikan sebagai haram. Ini kerana ia telah mensyaratkan lebihan iaitu sebanyak 4% daripada pinjaman asal. Ini dikukuhkan lagi dengan pendapat bahawa, semasa akad atau perjanjian kontrak, tiada sebarang unsur barang yang wujud atau rukun jual beli tidak sempurna. Selain itu, jika 4% itu dianggap sebagai upah mengurus, tidakkah jumlah itu terlalu banyak dan lebih daripada jumlah yang sepatutnya diperolehi?

Jika begitu keadaannya, bagaimana dengan keadaan semua pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN. Sudah tentulah mereka terlibat dengan riba. Bagaimana hendak menjawabnya. Ini adalah pandangan saya.

Dalam kaedah fiqh, terdapat suatu kaedah iaitu ”apabila dalam keadaan sempit, maka ia menjadi luas”. Maksudnya, sesuatu hal dalam agama Islam yang boleh menyebabkan kesusahan yang dahsyat kepada umatnya, akan diberikan keringanan sehingga ia menjadi mudah. Contohnya, seorang yang tersesat di dalam hutan dan telah terputus makanan selama 3 hari, dibenarkan untuk memakan makanan yang haram pada ketika itu seperti khinzir jika ia menjumpainya. Meskipun Islam melarang keras penganutnya agar menjauhkan diri daripada khinzir, namun disebabkan darurat, maka menjadi harus untuk ia memakannya. Namun, kadar yang boleh ia makan adalah setakat untuk mengalas perut sahaja dan untuk meneruskan hidup.

Begitu juga keadaannya dengan PTPTN. Pada masa ini, biasiswa atau pinjaman tanpa faedah sukar diperolehi oleh para pelajar. Jika ada yang memperolehinya sekalipun, jumlah mereka amat sedikit sekali. Dalam kesukaran tersebut, sudah tentu mereka yang miskin tetapi mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pelajaran keperingkat IPT tidak dapat meneruskan pengajian mereka disebabkan tidak mampu untuk membiayai yuran pengajian mereka. Dalam hal ini, PTPTN adalah menjadi harus kepadanya, dengan syarat ia benar-benar memerlukan dan tanpanya, ia tidak dapat melanjutkan pelajaran. Dalam konteks melanjutkan pelajaran, ia disamakan dengan ’meneruskan hidup’ bagi membina masyarakat Islam yang berilmu. ”Apabila sempit (tidak dapat sambung belajar), maka ia menjadi luas (dibenarkan mengambil PTPTN)”.

Namun, sejauh mana seseorang itu boleh memiliki wang PTPTN? Iaitu sekadar untuk membayar yuran dan sedikit untuk menyara keperluan hidup mereka sahaja semasa pengajian. Sekiranya, dengan duit PTPTN yang mereka perolehi tersebut tanpa ada sebarang sumber tambahan, menyebabkan mereka mampu memiliki sebuah motorsikal atau kenderaan, maka bolehlah diertikan bahawa mereka telah melebihi had dari yang sepatutnya mereka perolehi.

Ataupun, mereka yang dari fakulti sastera, memohon PTPTN melalui fakulti sains dengan tujuan mereka mendapat PTPTN yang banyak, juga dianggap sebagai telah melebihi daripada apa yang sepatutnya mereka perolehi. Maka, ia juga tidak dibenarkan kerana matlmat asal dibenarkan adalah untuk membolehkan seseorang melanjutkan pelajarannya dan bukan menjadikannya hidup mewah di kampus.

Seperkara lagi, kebanyakan wang PTPTN yang diperolehi akan dimasukkan ke dalam akaun BCB. Bagaimanapun, kebanyakan pemegang akaun BCB adalah akaun lama iaitu akaun konvensional. Ia juga adalah haram dalam Islam. Saya syorkan, anda buka akaun saving-i di BCB bagi menggantikan akaun yang lama ataupun anda pindahkan wang PTPTN yang anda terima ke akaun perbankan Islam yang lain seperti di Bank Islam ataupun Bank Muamalat. Ini bagi mengelakkan duit anda digunakan oleh pihak bank konvensional dalam pelaburan mereka yang tidak menepati syarak.

Sunday, September 7, 2008

Program Kutu Wang Pos Dari Sudut Fiqh Islam

Program kutu secara wang pos sudah agak menular dan popular pada masa ini. Mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan melihat program ini dapat membantu menyelesaikan kemelut kewangan mereka.Bagi pihak yang berwang pula, berhasrat untuk membantu sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan dengan menamakan mereka sebagai penerima wang pos berkenaan.Persoalannya, adakah program ini berjalan tanpa terdapat apa-apa unsur haram sehingga program ini benar-benar menjamin kebaikan sebagaimana yang dijanjikan. Tetapi jika program ini mengandungi unsur-unsur haram, maka kegelapan dan kerugian pastinya akan menemui peserta-pesertanya atau sebahagian daripada peserta-pesertanya. Unsur-unsur haram yang dapat dikesan .Setelah meneliti perjalanan beberapa bentuk program wang pos, didapati ia mengandungi beberapa unsur haram. Antaranya:

1. Unsur Gharar
Jika dikaji berkenaan program ini didapati asas kepada pembinaan dan perjalannya adalah 'auto placement' yang menjadikan orang bawah atau peserta baru mangsa yang tidak mendapat apa-apa pulangan apabila program 'auto placement' ini berhenti berpusing. Oleh itu, setiap yang menjadi peserta yang peringkat awalnya mengharapkan pulangan apabila sampai gilirannya kehilangan wang apabila program ini terhenti. Setiap sesuatu pastinya ada permulaan dan pastinya juga ada titik penamatnya. Pada waktu tersebut, pastinya sesiapa yang masih berada di bawah akan menjadi mangsa apabila wangnya diperolehi oleh orang atasan sedangkan orang bawahannya belum wujud. Gharar yang terdapat disini ialah gharar fil husul (tidak tentu dapat) dan gharar fil miqdar (tidak tentu kadar).

2. Riba
Program ini sebenarnya bersifat 'money game' yang mendedahkan pesertanya kepada riba. Ini kerana, setiap yang menyertai program ini atau sebahagiannya berhasrat mendapatkan pulangan. Jika ia menaja dengan mengeluarkan wang sebanyak RM100, maka ia mengharapkan pulangan lebih.Jika ia benar-benar mendapat pulangan yang lebih banyak, maka ia adalah riba kerana tiada transaksi perniagaan atau khidmat di dalam program ini.
3. Judi
Dalam program ini terdapat unsur judi kerana sepastinya ada pihak yang mendapat untung dan ada pihak yang pasti mengalami kerugian.Untung dan rugi ini boleh berlaku apabila program ini berhenti. Jika ia berlaku, maka mereka yang berada di line atas akan mendapat keuntungan manakala mereka yang berada di line bawah mendapat kerugian.Beberapa jawapan kepada kekeliruan .Mereka yang menyertai program ini melihat ia adalah harus dari sudut syariat dengan alasan-alasan berikut:

1. Sumbangan atas alasan hibah
Antara alasan yang sangat luas dijadikan hujah membolehkan ialah sumbangan setiap peserta adalah hibah.Sebenarnya alasan ini adalah alasan yang tidak boleh diterima syariat kerana hibah tidak mensyaratkan keuntungan dan tidak mensyaratkan pulangan.Tetapi program ini jelas berbentuk permainan wang (money game) dalam bentuk pusingan 'auto placement'.Justeru itu, hibah bersyarat jika tidak kena caranya boleh menjerumuskan kepada riba sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya: "Setiap pinjaman yang mensyaratkan manfaat (faedah) adalah riba."Pada masa yang sama bayaran yang dianggap hibah tersebut adalah dalam bentuk tetap dan dijanjikan pulangan sebagaimana dalam iklan yang disiarkan. Maka setiap transaksi syariat bukan dilihat kepada lafaz dan binaan kalimah tetapi ia melihat kepada hakikat dan perjalanannya.Kaedah fiqh menyebut yang bermaksudnya: "Yang diambil kira pada akad transaksi ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan susunan kalimat."

2. Sumbangan mestilah ikhlas membantu.
Alasan kedua yang biasa digunakan ialah sumbangan itu ikhlas membantu sahabat-sahabat seagama yang susah. Menurut syariat, apabila sesuatu transaksi di dapati haram, maka ikhlas tidak akan merubahnya menjadi halal. Sebagaimana tiga orang berjudi dan setiap seseorang mempertaruhkan wang RM10. Sekalipun setiap seseorang berniat derma ikhlas untuk si pemenang ia tetap haram kerana ia adalah judi dan ikhlas tersebut tidak boleh mengharuskan perkara yang haram. Ikhlas atau lebih tepat tidak dipaksa adalah syarat sah jual beli dan segala jenis transaksi yang harus. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa� ayat 29 yang maksudnya: "Melainkan ia adalah perniagaan yang berlaku secara reda meredai antara kamu." Ayat ini menunjukkan reda dan ikhlas menyertai perniagaan yang halal, bukan menjadi syarat sah kepada transaksi yang haram.

3. Kias kepada belanja kawan makan atau minum di kedai.
Kias tersebut adalah kias yang salah kerana ia mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Antaranya, belanja kawan di kedai makan tidak melibatkan pusingan wang. Dalam program ini ia melibatkan wang dengan wang yang sepastinya mendedahkan kepada riba. Tambahan pula setiap pesertanya disyaratkan menaja dan ditaja. Penutup dan kesimpulan .Sememangnya setiap transaksi hukum asalnya adalah harus sehinggalah ia dicemari oleh unsur-unsur haram.
Setelah diteliti program wang pos ini, didapati program ini adalah haram disebabkan unsur-unsur yang disenaraikan di atas. Justeru itu, umat islam digesa supaya tidak terlibat dengan program ini kerana ia membazirkan wang disamping keharaman yang disebutkan.- tajdid _(Majlis Perundingan Dan Penyelidikan Hukum (MPPH), Dewan Ulama PAS Pusat)

ciri - ciri utama ekonomi islam

Ekonomi Islam sepertimana yang kita ketahui adalah berasaskan kepada akhlak dan moral. Ia merupakan suatu jenis ekonomi yang realistik untuk kemanusiaan sejagat. Islam membenarkan umatnya berurusan daripada segala aspek selagi ia tidak melanggar hukum syarak yang telah ditetapkan.Umumnya, kesemua harta di dunia adalah milik Allah dan kita manusia hanya sebagai pemegang amanah nya sahaja. Ia bertujuan agar manusia tidak bongkak dan sombong di muka bumi Allah ini. Ia juga adalah untuk kemaslahatan individu dan juga kemaslahatan umum.Untuk itu, membiarkan tenaga manusia secara sia-sia adalah haram dan tidak berguna. Walaubagaimanapun, setiap makhluk yang bergelar manusia ini perlu belajar dan mengkaji segala macam jenis sumber rezeki yang tidak menyalahi hukum Allah. Pelaburan, jualbeli, sewa dan sebagainya perlu berlandaskan kepada ketetapan dan tidak sesekali ditinggalkan hukumnya. Janganlah kerana kita sibuk mengejar kekayaan dan seterusnya alpa dengan hakikat ini, bahawa kita sebenarnya terperangkap dalam situasi sebegini.Lagi menyedihkan, berbagai macam alasan ditimbulkan untuk membetulkan apa yang salah. Ibaratnya menegakkan benang yang basah. Akhirnya, golongan sebegini hendak melihat semua perkara yang jahil dan haram itu dibenarkan.

Wednesday, September 3, 2008

Ar-rahnu Pajak Islam Pertama Di Dunia

SISTEM cagaran untuk mendapatkan wang telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 283)

Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan unsur-unsur gharar (penipuan). Bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan British di negara ini, perniagaan pajak gadai banyak diusahakan masyarakat Cina. Ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak. Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Hassan berkata, orang Melayu-Islam di negara ini memerlukan perkhidmatan mudah tunai dengan menggadai barang-barang tertentu untuk dijadikan modal pusingan dari semasa ke semasa.

Kebiasaannya mereka menggunakan wang untuk membeli barang keperluan seperti beras dan bahan makanan.“Apabila kesuntukan wang, mereka akan menggunakan barang kemas untuk membeli barang-barang lain atau ditebus balik. Tetapi persoalan yang timbul di sini ialah kadar bunga atau faedah yang dikenakan kepada penggadai. Malah, ada ketikanya barang tersebut akan lupus jika mereka gagal menebusnya kembali. Ini menunjukkan berlaku pengambilan terus secara tidak adil,” jelas beliau mengenai operasi pajak gadai konvensional. Pada 1990, bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussin berucap dalam sebuah forum di Pulau Pinang tentang betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam menerusi sistem perbankan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk memperoleh wang melalui cagaran.

Sebagai menyahut seruan itu, kerajaan Terengganu buat pertama kalinya telah melaksanakan Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 23 Januari 1992. Pajak gadai itu ditubuhkan di bawah Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu. Penubuhan pajakan dan operasi itu termaktub di bawah peruntukan Seksyen 12 dan 14 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Bil.2) 1986. Dari segi perundangan, operasi Muassasah Gadaian Islam Terengganu tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Peraturannya berkuatkuasa pada 1 Jun 1992. Pelaksanaan Muassasah Gadaian Islam Terengganu yang memenuhi kehendak syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan. Melalui anak syarikatnya, Permodalan Kelantan Berhad, ia telah mewujudkan Kedai Ar-Rahn yang memulakan operasi pada Mac 1992 dengan modal awal RM2 juta. Ia merupakan syarikat atau institusi gadaian Islam terawal di Malaysia. Kerajaan pusat telah menyarankan dilaksanakan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh negara menjelang 1993.

Kalangan ahli fuqaha dan sarjana undang-undang Islam mentakrifkan gadaian sebagai barang yang disahkan sebagai cagaran hutang atau dengan kata lain menjadikan sesuatu harta yang mempunyai harga sebagai jaminan hutang. Ia akan dijadikan pembayaran hutang sekiranya hutang tidak mampu dijelaskan. Semua barang yang boleh diperdagangkan boleh digadaikan dalam tanggungan orang berhutang. Ar-Rahnu dari sudut bahasa membawa maksud tetap (al-Dawam) dan penahanan (al-Habs).

Dari segi pelaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim pajak gadai Islam kepada masyarakat umum. Pelaksanaannya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan.“Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit,” ujar Abdullah mengenai objektif pelaksanaan skim Ar-Rahnu.

YPEIM menjadi pelabur utama dan penyelaras dana pelaburan dan Bank Rakyat bertindak sebagai pengurus pelaksanaan operasi skim tersebut. Projek itu dijalankan berdasarkan kepada konsep Mudarabah Khas (Muqayyadah). Skim yang bermula pada 21 Oktober 1993 itu melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta daripada YPEIM dengan pembahagian keuntungan 70:30. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, YPEIM kemudian menjalin kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia. Pelaksanaan skim itu di semua institusi kewangan adalah selaras dengan hukum syariah.

Beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri turut menceburkan diri dalam bidang itu. Contohnya, kerajaan Perlis telah menubuhkan sistem pajak gadai Islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam pelaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun Terengganu.Jelas Abdullah, konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama dan keturunan. Selain itu, ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam dengan transaksi perdagangan yang berunsur negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan, beliau mendapati pajak gadai konvensional mempunyai beberapa aspek yang bercanggah dengan hukum Islam terutama dari segi pelaksanaan dan operasi. Katanya, penyelewengan berlaku dari segi nilai gadaian yang semakin menyusut walaupun barang kemas didapati lebih berat. Malah undang-undang pajak gadai tidak mewajibkan peniaga pajak gadai mencatatkan saiz dan berat barang kemas pada resit gadaian. Mereka juga dikenal pasti menetapkan kadar faedah yang berlebihan berbanding yang telah termaktub dalam Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.Tambah Abdullah, sistem konvensional memberi nilai gadaian rendah walaupun banyak barang yang hendak digadai kerana akta tidak menetapkan kriteria untuk meletakkan harga pada barang gadaian. Peniaga pajak gadai turut mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Berdasarkan kepada akta itu, pemegang gadaian boleh mendapatkan semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang seterusnya. Mereka berani mengambil kesempatan kerana akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang telah digadai kecuali pemegang yang perlu menyerahkan surat pajak gadai sahaja.“Pada masa yang sama, peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah hutang. Tindakan ini ternyata menindas pengguna yang amat memerlukan wang tersebut,” katanya.Apabila peniaga pajak gadai didapati sewenang-wenangnya menindas pengguna yang kurang arif mengenai operasi pajak gadai, secara tidak langsung ia membuktikan kelemahan Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah akta itu tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faedah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada penggadai yang buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat.Akta tersebut juga tidak menetapkan kawalan atau peraturan terhadap acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.“Walaupun akta ada menyatakan pemegang lesen bertanggungjawab terhadap barang cagaran tetapi jika berlaku kerosakan, pampasan yang dibayar kepada penggadai adalah tidak adil kerana ia menerima nilai yang lebih rendah dan kurang daripada nilai gadaian sebenar,” ujar Abdullah.Enam bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah pinjaman yang dibuat adalah besar dan penggadai terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, penggadai turut dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi kerana perniagaan pajak gadai memerlukan modal yang besar. Selain itu, akta itu hanya mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika lebih ia perlu mendapatkan lesen peminjam wang. Keadaan ini sangat merugikan penggadai kerana keadaan inflasi akan menaikkan nilai barangan.

Dari segi menamatkan kontrak gadaian, Abdullah menjelaskan, barang gadaian akan diserahkan apabila penggadai telah melunaskan hutang kepada pemegang gadai. Sekiranya penggadai tidak mampu membayar hutang yang diambil, apabila tamat kontrak, dengan kebenaran hakim pemegang gadai boleh melelong barang tersebut dan ia hanya boleh meletakkan harga barang tersebut sebanyak hutang yang dikenakanSelain itu, kontrak juga boleh berakhir dengan pelupusan hutang (ibra’) iaitu pemegang gadai bersetuju menghapuskan hutang dengan memulangkan semua barang tersebut tanpa membayar hutang. Mengenai status penggadai yang meninggal dunia, Abdullah menyatakan, kontrak gadaian tidak akan berakhir atau terbatal sekiranya berlaku kematian. Jika penggadai atau pemegang gadai meninggal dunia, waris-waris akan menggantikan tempat mereka. Sekiranya waris masih kecil atau berada di luar negara, maka waris boleh menjual harta gadaian dengan persetujuan pemegang gadaian dan ia hanya boleh digunakan untuk menjelaskan hutang si mati.“Dalam kes gadaian yang menggunakan harta yang dipinjam pula, sekiranya berlaku kematian, pemegang gadai tidak boleh menjual barang tersebut melainkan dengan keizinan pemberi pinjaman. Tetapi jika pemberi pinjaman ingin menjualnya tanpa keizinan pemegang gadai, syaratnya harga jualan perlu dapat menampung jumlah hutang,” jelas Abdullah. Sistem pajak gadai Islam ternyata memberi kelebihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan kerana ia berlandaskan kepada hukum Islam. Pajak gadai Islam dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam. Ar-Rahnu yang dijalankan di Malaysia merupakan sistem pajak gadai yang pertama di dunia dan hingga kini masih belum ada sistem yang seumpamanya di dunia.
Utusan Malaysia
28 Mac 2006
Oleh Zunaidah Zainon

Al-Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB)



AZMI & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd (ANNHSB), pemilik cop dagangan Putrabikes melangkah setapak lagi ke depan dengan menjadi perintis kepada pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan prinsip syariah melalui skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (Aitab).ANNHSB yang 100 peratus milik Bumiputera menjadi satu-satunya syarikat penjual pelbagai jenis motosikal baru dan terpakai selain penyedia khidmat baik pulih lepas jualan yang menggunakan pembiayaan Islam dalam jual beli.Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pengenalan pembiayaan pembelian motosikal berlandaskan syariah oleh ANNHSB adalah satu perkembangan membanggakan dalam industri motosikal negara.“Penawaran produk kewangan berlandaskan syariah seperti Aitab ini selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam antarabangsa.
“Apa yang diperkenalkan ANNHSB satu perkara baru dalam industri motosikal dan diharap sebagai akan berjaya dan diikuti lebih banyak penjual motosikal seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran pembiayaan motosikal Aitab dan pembukaan bilik pameran serta penjenamaan Putrabikes ANNHSB di Rantau Panjang, Klang, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil. Nor Mohamed berkata, kejayaan negara mewujudkan sistem kewangan Islam yang lengkap seiring dengan sistem kewangan konvensional kini menjadi rujukan kepada banyak negara.Sementara itu, Pengarah Urusan ANNHSB, Azmi Ismail, berkata walaupun 70 peratus hingga 80 peratus daripada pembeli motosikal terdiri daripada golongan beragama Islam, pembiayaan berlandaskan prinsip syariah seperti Aitab tidak pernah diperkenalkan wakil pengedar motosikal di pasaran.“Tidak wujud jumlah bayaran pampasan lewat bayar (add on) seperti diamalkan perjanjian konvensional iaitu faedah lewat bayar akan ditambahkan kepada jumlah pinjaman asal dalam pembiayaan berlandaskan syariah.“Skim Aitab yang pertama di negara ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub kewangan Islam sedunia selain mengelakkan syarikat dan pembeli daripada riba,” katanya.Azmi berkata, pihaknya yakin melalui pelbagai strategi pemasaran dan jualan selain pengenalan Aitab, sasaran menjual sehingga 2,800 unit motosikal tahun ini mampu dicapai.Mereka yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan Aitab sehingga 80 peratus dengan kelulusan segera perlu mengemukakan beberapa dokumen di mana-mana cawangan Putrabikes.“Dokumen diperlukan adalah kad pengenalan, lesen memandu, slip gaji untuk tiga bulan, dokumen sokongan untuk bukti pendapatan, penyata bank, bil telefon, air atau elektrik yang terkini,” katanya. ANNHSB berkecimpung dalam industri motosikal sejak 1996 dengan menjadi wakil pengedar Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) selain jenama Yamaha dan mempunyai beberapa cawangan di Kamunting dan Simpang, Perak dan terbaru di Rantau Panjang, Klang.

Affin Islamic Bank Tinjau Kembang Operasi

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Affin Islamic Bank Bhd. meninjau pengambilalihan sekiranya ‘terdapat peluang’, sejajar dengan objektifnya untuk memperluaskan operasi Islamnya dalam negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul Ariffin Mohd Jamil. “Sejak Bank Negara Malaysia meliberalisasi peraturan ekuiti asing dalam bank-bank Islam sedia ada, kami sentiasa terbuka untuk mana-mana tawaran yang sesuai dan menarik ke arah pemerolehan atau kerjasama,” kata beliau kepada pemberita selepas pemeteraian kemudahan pembiayaan semula bertempoh RM70 juta dengan Media Prima Bhd (MPB) di sini hari ini. “Tetapi buat masa ini, kami belum berbincang dengan mana-mana pihak,” katanya. Kamarul Ariffin berkata, bank berkenaan, yang merupakan anak syarikat Affin Bank Bhd., akan menumpukan kepada usaha untuk mengadakan produk Islam yang inovatif dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pembiayaan yang lebih lengkap kepada pelanggan bermula dengan pembiayaan pengguna dan pembiayaan perusahaan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Abdul Rahman Ahmad berkata, kemudahan pembiayaan semula itu akan melengkapkan inisiatif pengurusan modal syarikat bagi menjana kos dana yang lebih rendah dan penjimatan jangka sederhana. “Jumlah hutang dan proses modal yang kami ambil akan memberikan penjimatan kos kira-kira RM5 juta hingga RM6 juta setahun,” katanya. Buat masa ini syarikat mempunyai jumlah kemudahan hutang sebanyak RM450 juta. Abdul Rahman berkata, syarikat telah memulakan pengambilalihan secara agresif sejak tiga hingga empat tahun lepas, juga meninjau untuk satu lagi peluang pelaburan. “Tetapi pada masa ini, tumpuan kami ialah untuk memastikan pelaburan kami lebih baik,” katanya.
– Bernama

Tuesday, September 2, 2008

Basel II - Alat Paling Berkuasa Untuk Tingkatkan Daya Tahan Jangka Panjang & Kelebihan Kompetitif

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan Basel II, yang merupakan syor undang-undang dan peraturan perbankan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Basel mengenai Pengawal Seliaan Perbankan, adalah alat yang berkuasa bagi bank untuk meningkatkan daya tahan jangka panjang dan kelebihan kompetitif secara signifikan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.Basel II, menjanjikan kestabilan kewangan yang lebih meluas menerusi susunan yang lebih rapat risiko dengan modal, kata beliau dalam ucaptama pada Dialog Keempat SEACEN /ABAC/ABA/PECC Sektor Awam-Swasta bagi Rantau Asia Pasifik di sini."Bagi menikmati manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan Basel II, dimensi pelbagai wajah perlulah difahami dengan baik dan disepadukan dengan struktur kewangan, amalan institutsi, dan sistem kawal seliaan," katanya.Beliau juga berkata pasaran yang baru muncul, khususnya, perlu untuk memastikan bahawa intepretasi kawal seliaan kerangka kerja adalah mengikut konteks situasi tempatan, dan pra syarat bagi pelaksanaannya yang efektif dibangunkan secukupnya untuk mengelakkan potensi berlakunya gangguan pasaran."Pada tahap institusi, Basel II menyediakan peluang yang unik bagi bank untuk menyepadukan pertimbangan risiko dengan strategi perniagaan mereka."Pastinya, beberapa institusi kewangan pemberi pinjaman telah dengan jayanya membawa Basel II melangkaui aplikasi risiko yang sempit dan mekanistik kepada pelaksanaan strategik kerangka kerja merentasi organisasi," jelasnya.Menurut Zeti, institusi sebegitu telah memanfaatkan prasarana risiko yuang ditingkatkan yang telah diwujudkan untuk Basel II untuk mewewujudkan kelebihan kompetitif menerusi aplikasi perniagaan baru dan alat pengurusan."Ini membolehkan fungsi risiko mempunyai peranan utama bagi membentuk langkah strategik ke dalam pasaran baru dan produk. Dalam proses itu, ia memastikan strategi adalah diserasikan dengan selera risiko dan dasar bank," katanya.Bagaimanapun beliau berkata manfaat Basel II tidak akan dapat dicapai dengan hanya pendekatan pematuhan undang-undang yang ketat."Sementara Basel II bertindak sebagai pemangkin yang berkuasa mengubah semula kedudukan peranan, dan perhatian kepada pengurusan risiko dalam institusi perbankan, usaha keras juga diperlukan dan ditumpukan kepada mengukuhkan struktur kewangan, tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan keupayaan data," katanya.Sebanyak 13 negara di rantau Asia Pasifik, telah menerima pakai pendekatan yang seragam di bawah Basel II bagi risiko kredit dan pengoperasian.Sejumlah negara sama ada telah pun menerima pakai atau mengumumkan pelan untuk menerima pendekatan yang lebih terkini menjelang 2010 atau sebelumnya.Malaysia menerima pakai pendekatan yang seragam itu tahun ini dan baru-baru ini mengeluarkan kertas konsep yang mendalami tentang had-had tertentu bagi pelaksanaan pendekatan yang lebih terkini pada 2010.Katanya dengan wujudnya krisis gadai janji sub-prima di Amerika Syarikat, beberapa aspek daripada Basel II telah dapat menarik perhatian seperti penggunaan penarafan dalam rangka kerja undang-undang dan sama ada ia secara tidak dirancang melemahkan semangat pelabur daripada melaksanakan langkah ketekunan kwjar mereka sendiri."Anggaran risiko yang kurang daripada sepatutnya bagi pensekuritian kredit berstruktur diletak di bawah penelitian yang rapi sekarang. Berlakunya perbahasan yang kian meningkat mengenai impak kitaran Basel II," katanya.Bagi ekonomi yang baru muncul, Basel II tidak dapat dipertikaikan lagi mempunyai impak yang meluas memandangkan ekonomi terus banyak bergantung kepada sistem perbankan untuk membiayai aktiviti ekonomi.Zeti menjelaskan bahawa dengan beberapa pengecualian, bank komersil merupakan penyedia kredit utama di kebanyakan ekonomi yang baru muncul, mewakili purata 90 peratus daripada jumlah kredit."Ini menghasilkan korelasi yang lebih tinggi kepada sektor ekonomi di mana implikasi terhadap sistem perbankan boleh mengakibatkan gangguan yang besar kepada penawaran kredit yang sebaliknya boleh menjejaskan aktiviti ekonomi," katanya.Di Malaysia, kata Zeti penyusunan semula kewangan dijalankan untuk mengukuhkan lagi kekuatan sedia sistem perbankan yang memainkan peranan yang penting dalam membantu peralihan kepada penggunaan Basel II yang licin tanpa hasil keputusan pasaran yang mengecewakan.

-- BERNAMA