Monday, September 8, 2008

ptptn

Hari ini, saya ingin memperkatakan mengenai PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Meskipun tajuk ini, agak terkeluar sedikit dari konsep asal iaitu mengenai perbankan dan kewangan Islam, namun ia masih mempunyai kaitan iaitu berkenaan dengan pinjaman PTPTN, samada ia halal ataupun haram.

Terlebih dahulu dimaklumkan bahawa, pandangan yang dilontarkan dalam penulisan ini adalah merupakan suatu pandangan peribadi kerana setakat ini, tiada lagi sebarang pendapat yang khusus yang telah dikeluarkan mengenainya. Mungkin disebabkan focus lebih ditumpukan kepada system perbankan. Namun, sering juga orang bertanya kepada saya, sekadar meminta pendapat mengenai kedudukan PTPTN.

Sedikit mengenai PTPTN. Tabung ini disedikan khusus untuk membiayai pengajian para pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran diperingkat pengajian tinggi. Konsep yang diguna pakai adalah pinjaman kerana tidak wujud sebarang unsur pertukaran barang di dalam akad tetapi menawarkan faedah yang tetap sehingga penghujung tempoh iaitu sebanyak 4% setahun.

Dalam Islam, sebarang bentuk pinjaman, yang telah disyaratkan lebihan di dalam pembayaran balik hutang tersebut adalah dikira sebagai haram disisi Islam disebabkan ia mengandungi unsur riba. Dalam hal ini, PTPTN yang menggunapakai konsep pinjaman boleh dikategorikan sebagai haram. Ini kerana ia telah mensyaratkan lebihan iaitu sebanyak 4% daripada pinjaman asal. Ini dikukuhkan lagi dengan pendapat bahawa, semasa akad atau perjanjian kontrak, tiada sebarang unsur barang yang wujud atau rukun jual beli tidak sempurna. Selain itu, jika 4% itu dianggap sebagai upah mengurus, tidakkah jumlah itu terlalu banyak dan lebih daripada jumlah yang sepatutnya diperolehi?

Jika begitu keadaannya, bagaimana dengan keadaan semua pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN. Sudah tentulah mereka terlibat dengan riba. Bagaimana hendak menjawabnya. Ini adalah pandangan saya.

Dalam kaedah fiqh, terdapat suatu kaedah iaitu ”apabila dalam keadaan sempit, maka ia menjadi luas”. Maksudnya, sesuatu hal dalam agama Islam yang boleh menyebabkan kesusahan yang dahsyat kepada umatnya, akan diberikan keringanan sehingga ia menjadi mudah. Contohnya, seorang yang tersesat di dalam hutan dan telah terputus makanan selama 3 hari, dibenarkan untuk memakan makanan yang haram pada ketika itu seperti khinzir jika ia menjumpainya. Meskipun Islam melarang keras penganutnya agar menjauhkan diri daripada khinzir, namun disebabkan darurat, maka menjadi harus untuk ia memakannya. Namun, kadar yang boleh ia makan adalah setakat untuk mengalas perut sahaja dan untuk meneruskan hidup.

Begitu juga keadaannya dengan PTPTN. Pada masa ini, biasiswa atau pinjaman tanpa faedah sukar diperolehi oleh para pelajar. Jika ada yang memperolehinya sekalipun, jumlah mereka amat sedikit sekali. Dalam kesukaran tersebut, sudah tentu mereka yang miskin tetapi mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pelajaran keperingkat IPT tidak dapat meneruskan pengajian mereka disebabkan tidak mampu untuk membiayai yuran pengajian mereka. Dalam hal ini, PTPTN adalah menjadi harus kepadanya, dengan syarat ia benar-benar memerlukan dan tanpanya, ia tidak dapat melanjutkan pelajaran. Dalam konteks melanjutkan pelajaran, ia disamakan dengan ’meneruskan hidup’ bagi membina masyarakat Islam yang berilmu. ”Apabila sempit (tidak dapat sambung belajar), maka ia menjadi luas (dibenarkan mengambil PTPTN)”.

Namun, sejauh mana seseorang itu boleh memiliki wang PTPTN? Iaitu sekadar untuk membayar yuran dan sedikit untuk menyara keperluan hidup mereka sahaja semasa pengajian. Sekiranya, dengan duit PTPTN yang mereka perolehi tersebut tanpa ada sebarang sumber tambahan, menyebabkan mereka mampu memiliki sebuah motorsikal atau kenderaan, maka bolehlah diertikan bahawa mereka telah melebihi had dari yang sepatutnya mereka perolehi.

Ataupun, mereka yang dari fakulti sastera, memohon PTPTN melalui fakulti sains dengan tujuan mereka mendapat PTPTN yang banyak, juga dianggap sebagai telah melebihi daripada apa yang sepatutnya mereka perolehi. Maka, ia juga tidak dibenarkan kerana matlmat asal dibenarkan adalah untuk membolehkan seseorang melanjutkan pelajarannya dan bukan menjadikannya hidup mewah di kampus.

Seperkara lagi, kebanyakan wang PTPTN yang diperolehi akan dimasukkan ke dalam akaun BCB. Bagaimanapun, kebanyakan pemegang akaun BCB adalah akaun lama iaitu akaun konvensional. Ia juga adalah haram dalam Islam. Saya syorkan, anda buka akaun saving-i di BCB bagi menggantikan akaun yang lama ataupun anda pindahkan wang PTPTN yang anda terima ke akaun perbankan Islam yang lain seperti di Bank Islam ataupun Bank Muamalat. Ini bagi mengelakkan duit anda digunakan oleh pihak bank konvensional dalam pelaburan mereka yang tidak menepati syarak.

No comments: